Friday, June 22, 2012

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 9/ 2000 (Ringkasan)

Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan di Dalam dan di Luar Kawasan Sekolah
1. Guru Opsyen Pendidikan Jasmani dan Kesihatan:
· Menjaga keselamatan murid dengan rapi semasa di dalam atau di luar bilik darjah.
· Bertanggungjawab mengeluar, mengguna dan menyimpan alat-alat sukan walaupun boleh dibantu oleh murid.

2. Guru Kokurikulum dan Sukan:
· Guru mestilah mengawasi dan peka terhadap keselamatan murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dan sukan.
· Guru hendaklah memastikan semua alat sukan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum digunakan.

3. Murid:
· Setiap murid perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga dan pengetua untuk mengambil bahagian di dalam sukan dan aktiviti kokurikulum di luar sekolah.
· Keselamatan dan kebajikan murid perlu diberi keutamaan seperti makanan dan minuman dan lain-lain lagi.
· Guru hendaklah mengiringi murid dalam semua aktiviti di luar kawasan sekolah.
· Sekiranya terdapat murid perempuan, seorang guru wanita hendaklah mengiringi pasukan tersebut.
· Kesihatan murid perlu diberi perhatian dan diambil kira.
-Murid yang mempunyai penyakit kronik tidak boleh dipaksa mengambil bahagian.
-Bagi semua aktiviti lasak, murid-murid dikehendaki menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu.
-Murid-murid yang cedera, semput atau lelah (asthma), tidak dibenarkan mengambil bahagian.

4. Skim Perlindungan Diri:
· Sekolah digalakkan mengadakan skim perlindungan diri untuk semua murid yang merangkumi perkara berikut:
-kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik sekolah.
-kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik bersukan.
-kemalangan semasa menyertai sukan dan kokurikulum.
-kemalangan yang disebabkan peralatan sukan yang masih dalam 'warranty'

5. Penyelenggaraan Peralatan Sukan (Stor Sukan):
· Peralatan sukan yang dianggap berbahaya dan jika diabaikan boleh membawa maut adalah Lembing, Peluru, Cakera, Tukul Besi, Tiang Lompat Tinggi, Tiang Lompat Bergalah, Kayu Hoki, Kayu Golf, Bad Kriket, Bola Hoki, Bola Kriket, Bola Golf, Bola Baling, Bola Billiard, Dart, Spikes, Anak Panah dan Alatan Gimnastik.
· Pastikan semua latihan sukan yang menggunakan peralatan yang berbahaya diadakan pada hari atau masa yang berasingan dengan latihan sukan lain.
· Peralatan berbahaya hendaklah disimpan, dijaga dan diawasi penggunaannya dengan rapi sepanjang masa,
· Alatan sukan mestilah diletakkan di tempat khas yang mudah diambil oleh orang-orang yang ditugaskan sahaja.
· Setiap alat yang dikeluarkan dari stor sukan mestilah direkodkan dalam buku keluar-masuk alat-alat sukan oleh guru atau jurulatih sahaja.
· Peralatan sukan tidak boleh dibawa pulang ke rumah oleh sesiapa pun dan hendaklah diambil dan dipulangkan pada hari yang sama.
· Mempunyai kawasan yang selamat untuk menyimpan semua peralatan yang tidak digunakan.
· Penjaga stor hendaklah memeriksa dan memastikan peralatan yang baik sahaja yang boleh dikeluarkan.
· Alatan yang sudah rosak hendaklah dilaporkan pada pentadbir sama ada untuk dibaiki atau dimusnahkan.

6. Peralatan Sukan:
· Peralatan sukan seperti Tiang Gol hendaklah ada ’warranty' daripada pembekal selain daripada piawai yang diluluskan oleh undang-undang persatuan sukan.
· Semua peralatan yang sudah tamat tarikh luput hendaklah dimusnahkan dengan serta-merta.
· Adalah salah membeli, meminjam atau memberi pinjam, mengguna peralatan sukan yang tidak mendapat pengiktirafan dari Badan Sukan.

7. Kawasan Sukan/Permainan:
· Kawasan latihan, permainan atau sukan hendaklah berada dalam keadaan yang baik dan terurus.

8. Kawasan Larangan:
· Kawasan Larangan dan merbahaya adalah kawasan yang dibenarkan kepada guru/jurulatih sahaja untuk mengawasi aktiviti sukan.
a) Kolam Renang.
b) Dewan Gimnastik.
c) Bilik Kecergasan/Latihan Beban.
d) Stor Sukan.
e) Kawasan Berpagar tempat menyimpan peralatan sukan yang besar seperti Tiang Gol.

9. Cuaca/Musim:
· Dilarang sama sekali menjalankan aktiviti sukan di tempat lapang semasa cuaca buruk dan ada kilat atau petir.
· Dilarang mengadakan aktiviti sukan semasa hujan dan ribut petir, sama ada di padang atau kolam renang.
· Berhentikan aktiviti sukan apabila keadaan menjadi gelap kerana hendak hujan.

Laporan Kemalangan atau Kecederaan:
· Sebarang kemalangan atau kecederaan yang berlaku hendaklah disiasat dan dilaporkan kepada pengetua dengan segera.
· Semua jenis kemalangan mestilah direkodkan.

Aktiviti Sukan Kemahiran Tinggi:
· Segala aktiviti sukan seperti gimnastik terjun dan lain-lain yang memerlukan kemahiran tinggi perlu diajar oleh guru sukan yang bertauliah.
· Pastikan ada 'life saver' yang bertauliah bertugas semasa aktiviti-aktiviti sukan renang dijalankan.

Pelaporan Aktiviti (Penilaian):
·Guru pengiring mestilah membuat laporan bertulis kepada pihak sekolah mengenai sebarang aktiviti yang dijalankan atau disertai.

No comments:

Post a Comment