Tuesday, March 20, 2012

Tanggungjawab Murid terhadap Diri Sendiri

Seseorang murid yang berdisiplin seharusnya berkelakuan sebagaimana diharapkan oleh masyarakat seperti bertatatertib, berakhlak tinggi, bersopan-santun, berinisiatif, meng­hormati orang lain serta bersedia bekerjasama dan saling membantu. Konsep disiplin yang paling sesuai dengan cara hidup masyarakat di negara kita ialah melalui amalan­-amalan yang membawa kepada disiplin kendiri. Disiplin kendiri dimaksudkan sebagai disiplin yang timbul dari dalam diri sendiri iaitu seseorang itu berupaya mengawal dan menga­rahkan tingkah laku dirinya sendiri. Disiplin sedemikian adalah bersesuaian dengan cara hidup demokrasi yang kita amalkan.

-Kewajipan beragama
Kita mempercayai serta mengakui wujudnya Tuhan dan dengan demikian adalah wajib bagi kita sebagai makhluk-Nya mematuhi segala perkara yang disuruh dan meninggalkan apa-apa yang dilarang. Agama menuntut supaya kita sentiasa berbuat kebajikan dan janganlah sekali-­kali melakukan kejahatan. Taat dan patuh kepada agama akan menjadikan kita insan yang soleh.

-Tanggungjawab pada diri
Setiap anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab masing-masing sama ada terhadap diri sendiri atau terhadap orang lain. Tanggungjawab terhadap diri sendiri hendaklah dilaksanakan tanpa mengganggu orang lain.

-Kebersihan dan kesihatan diri
Kebersihan adalah sebahagian danipada iman dan sangat dipen­tingkan oleh agama. Antara cara­ menjaga kebersihan dan kesihatan diri adalah seperti:
• makan makanan berkhasiat yang disediakan secara bersih
• beriadah
• menjaga kebersihan tubuh badan termasuk kulit, rambut, telinga, dan anggota yang lain.

-Pakaian
Pakaian adalah untuk menutup aurat serta melindungi diri daripada panas dan sejuk. Sebagai penghias badan, pakaian juga memperlihat­kan keperibadian serta watak se­seorang. Murid hendaklah sentiasa berpakaian bersih dan kemas serta bersesuaian dengan masa, tempat, dan keadaan. Bagi murid, pakaian seragam di sekolah telah pun ditetapkan dan kerana itu murid-murid mestilah mematuhi arahan tersebut.

-Tingkah laku atau kelakuan
Tingkah laku yang baik dan sopan hendaklah diamalkan pada setiap masa. Antara amalan yang terpuji adalah seperti berikut:
• menggunakan tutur kata yang baik
• mengucapkan salam atau memberi hormat
• meminta maaf apabila tersilap
• bersikap jujur dan ikhlas
• bersikap lemah lembut dan sopan
• mengucapkan terima kasih apabila perlu

-Mengasihi diri sendiri
Murid perlu mengasihi diri sendiri dan hal ini dapat dilakukan dengan cara:­
• berusaha memaju dan mem­perkembang segala potensi diri sendiri seperti bakat, minat, kecenderungan dan kecerdasan.
• menjauhkan diri daripada gejala-gejala yang boleh merosakkan.
• dapat membezakan dan menge­nal pasti mana-mana perlakuan yang berbahaya dan tidak menguntungkan.

-Ketepatan waktu
Antara tabiat yang baik ialah sentiasa menepati waktu. Dengan tidak menepati waktu bukan sahaja akan merugikan diri sendiri tetapi juga menyusahkan orang lain. Murid perlulah pandai merancang masa supaya berada tepat pada waktu yang ditetapkan bagi sesuatu aktiviti sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

No comments:

Post a Comment