Tuesday, April 8, 2014

Pendidikan Pencegahan Dadah di Sekolah

LATAR BELAKANG
Pada 28 Februari 1983, Jawatankuasa Kabinet Antidadah telah mengisytiharkan ‘Dadah Musuh Utama Negara’. Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah(PPDa) di sekolah. Sasaran utama program ialah kepada murid, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa.

Program Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah dilaksanakan secara bersepadu melalui empat strategi utama iaitu Pengurusan dan Kepimpinan, Kurikulum, Kokurikulum dan Pembentukan Sahsiah.

MATLAMAT PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH
Matlamat Pendidikan Pencegahan Dadah di sekolah ialah untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan pendidikan dan ibu bapa akan bahaya dadah agar mereka menjauhinya dan berupaya menentang ancaman dadah dengan meletakkan sasaran ‘Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012’.

RASIONAL
Masalah penggunaan dadah yang berleluasa hari ini bukan sahaja melibatkan orang dewasa tetapi menular kepada golongan remaja. Kejadian ini menjadi lebih genting disebabkan pengeluaran pelbagai jenis dadah termasuk dadah tiruan yang semakin bertambah. Keadaan ini menyebabkan murid kita sentiasa terdedah dan berada dalam keadaan berisiko untuk turut terlibat. Menyedari hakikat ini Kementenian Pendidikan Malaysia mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan Program Pendidikan Pencegahan Dadah Di Sekolah secara sistematik dan berkesan.

OBJEKTIF PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH
a) Meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran Pendidikan Pencegahan Dadah kepada murid, guru dan kakitangan sekolah supaya dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah.
b) Membina ketahanan dan jati diri yang tinggi di kalangan murid dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani.
c) Membolehkan murid membentuk budaya dan tingkah laku positif dan mengamalkan nilai-nilai murni.
d) Melibatkan dan mewujudkan permuafakatan masyarakat sekolah dengan masyarakat luar sekolah dalam usaha mencegah dadah.

Prinsip Pendidikan Pencegahan Dadah di Sekolah
1. Semua sekolah rendah dan menengah hendaklah melaksanakan program PPDa.
2. Pendidikan Pencegahan Dadah adalah untuk semua murid, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa.
3. Pengetahuan, kemahiran, nilai, pengalaman, sikap dan kelakuan yang disampaikan kepada murid hendaklah selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara.
4. Pendekatan yang digunakan hendaklah berupaya meningkatkan ketahanan dan jati diri murid.
5. Pendidikan Pencegahan Dadah adalah tanggungjawab semua warga sekolah.
6. Program Pendidikan Pencegahan Dadah hendaklah menjurus ke arah ‘Sekolah Bebas Dadah’.

Strategi Pendidikan Pencegahan Dadah di Sekolah
Hasil mesyuarat antara Menteri Pendidikan dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 2 Januari 1998, beberapa persetujuan mengenai strategi PPDa di sekolah telah dicapai. Strategi utama PPDa yang dimaksudkan ialah melalui Kurikulum dan Kokurikulum.

Lanjutan daripada itu, beberapa proses pemantauan dan pemurnian dijalankan, hasilnya, dua lagi strategi digerakkan sebagai pelengkap kepada strategi yang sedia ada iaitu melalui Pengurusan dan Kepimpinan serta Pembangunan Sahsiah.

No comments:

Post a Comment