Sunday, January 23, 2011

Kawalan Kebersihan dan Keselamatan di Kantin

KAWALAN KEBERSIHAN DAN KESELAMATAN KANTIN


KAWALAN KEBERSIHAN

Keracunan makanan, kolera, typhoid dan hepatitis A adalah antara penyakit yang berpunca daripada makanan dan minuman yang dicemari oleh bakteria.

Pencemaran makanan dan air juga boleh disebabkan oleh bahan kimia.

Kawalan kebersihan kantin adalah perlu bagi mengawasi kebersihan diri, kemudahan tempat dan perkakasan.

Pengawasan perlu ditingkatkan semasa berlaku wabak penyakit berjangkit atau bencana alam seperti banjir.

1. Kebersihan Kemudahan

 Semua kemudahan kantin seperti tempat menyedia, mempamer atau menghidang makanan hendaklah sentiasa dijaga dalam keadaan bersih dan kemas.

 Semua sinki hendaklah sentiasa bersih dan berfungsi.

 Bilik air dan tandas hendaklah sentiasa bersih, selamat dan berfungsi.

 Tempat rehat dan stor hendaklah sentiasa bersih dan selamat.

 Tempat mengumpul sampah hendaklah sentiasa bersih dan kemas. Tong-tong sampah hendak berplastik di dalamnya dan bertutup.

 Peti sejuk dan ‘freezer’ hendaklah sentiasa bersih, kemas dan berfungsi.

2. Kebersihan Peralatan

 Alat atau perkakas yang digunakan hendaklah dibersihkan dengan air yang bersih sebaik-baiknya air panas dan bahan pencuci yang sesuai. Alat dan perkakas yang bersih hendaklah disimpan di tempat yang sesuai dan bersih.

 Pisau yang digunakan untuk memotong bahan mentah tidak boleh digunakan untuk memotong makanan yang sudah dimasak atau makanan yang dimakan segera.

 Pinggan mangkuk, sudu dan garpu hendaklah dibilas dengan air panas selepas dicuci.

 Semua peralatan (contoh:- pinggan mangkuk, piring, gelas, cawan, sudu, garpu, cerek dan pisau) yang retak, sumbing/ sompek, calar dan berkarat tidak boleh digunakan.

 Kain-kain pengelap yang kotor hendaklah dicuci dengan air panas dan bahan pencuci yang sesuai.


3. Kebersihan Bangunan

 Seluruh bangunan dan kawasan sekitarnya hendaklah dijaga supaya sentiasa bersih, kemas dan selamat.

 Lantai, longkang, dinding dan siling hendaklah dibersihkan setiap hari.

 Tempat makan hendaklah sentiasa bersih, selamat, dan teratur.





KESELAMATAN

Kemalangan boleh dielakkan sekiranya:

 peralatan diuruskan dengan sempurna, diletakkan di tempat yang sesuai dan yang rosak dibaiki.

 semua kerja dilakukan dengan cermat.

 segala punca kemalangan dikenal pasti dan segera diatasi.

4. Langkah Mencegah Kebakaran

 Pastikan alat-alat dan pendawalan elektrik sentiasa dalam keadaan sempurna.

 Urusan sambungan elektrik perlu mendapat kelulusan pihak yang berkenaan.

 Bahan-bahan yang mudah terbakar hendaklah diletak jauh dari dapur masak. Sebarang minyak dan cairan yang mudah terbakar mestilah dilabelkan dan ditutup dengan ketat.

 Murid-murid tidak dibenarkan masuk atau bermain di kawasan dapur.

 Kawasan dapur hendaklah sentiasa bersih dan kemas.

 AIat pemadam api hendaklah disediakan di kawasan dapur dan:

B diletakkan di tempat yang sesuai
B mencukupi
B berada dalam keadaan baik
B berfungsi dan disahkan oleh pihak bomba

5. Langkah Mencegah Kecederaan

 Lantai hendaklah sentiasa bersih, kering dan tidak licin.

 Murid-murid tidak dibenarkan bermain atau berlari di kantin.

 Barang-barang hendaklah diurus dengan sempurna supaya tidak menghalang pergerakan dan membahayakan pengguna.

 Bahan-bahan yang boleh menyebabkan kecederaan hendaklah diletakkan di tempat yang sesuai dan selamat.

 Peralatan yang boleh menyebabkan kecederaan hendaklah digunakan dengan berhati-hati.

 Bahan-bahan yang beracun hendaklah disimpan di luar kawasan dapur dan berasingan daripada tempat menyimpan makanan.

 Perabot hendaklah selamat dan sesuai digunakan.

 Poster atau cogan kata keselamatan yang sesuai hendaklah ditampal di tempat¬-tempat yang strategik.

6. Langkah-Langkah Mencegah Renjatan Atau Kejutan Elektrik

 Peralatan dan pendawalan elektrik hendaklah sentiasa dalam keadaan sempurna dan selamat untuk digunakan.

 Sebarang sambungan elektrik hendaklah mendapat kelulusan daripada pihak berkenaan.

 Tangan hendaklah kering semasa mengendalikan peralatan dan suis elektrik.

 Pengetua hendaklah dimaklumkan secepat mungkin tentang sebarang kerosakan elektrik.

7. Alat-Alat Pertolongan Cemas

Sebuah peti pertolongan cemas yang lengkap dengan bahan asas pertolongan cemas hendaklah disediakan. Peti pertolongan cemas hendaklah mempunyai ciri-ciri yang berikut:

 Jenis yang bertutup.

 Diperbuat daripada bahan yang licin.

 Dicat putih luar dan dalam.

 Ditanda dengan terang perkataan “PERTOLONGAN CEMAS” atau simbol.

No comments:

Post a Comment